Hazami sedia berhabis untuk Mungkir Bahagia

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

BERBALOIKAH berhabis-habisan dari segi wang ringgit untuk membuat persediaan ke pertandingan lagu seperti Anugerah Juara Lagu 21 (AJL21) bagi merebut Anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik yang menjanjikan hadiah RM10,000?

Saban tahun ada saja penyanyi yang tampil mewah dan hebat di pentas seperti membawa puluhan penari pengiring atau penyanyi latar serta menempah pakaian dari pereka terkenal hingga belanja yang dikeluarkan melebihi hadiah dijanjikan.

Itu kalau menang tapi kalau kalah tentu kerugiannya lebih besar.

Bagi Hazami yang menang Vokal Terbaik di AJL20 tahun lalu menerusi lagu Kata mengakui, dia sanggup berbuat demikian kerana mahu menampilkan persembahan menarik dan membanggakan.

Katanya, persiapan tahun lalu memang memerlukan belanja tinggi apabila membawa kumpulan koir dan barisan penyanyi pengiring yang ramai.

“Tidak cukup dengan itu, kos untuk pakaian juga tinggi. Kalau diikutkan, wang RM10,000 yang saya dapat itu campur tolak tidak menguntungkan. Tapi saya puas apabila persembahan saya dihargai penonton melalui pujian ramai.

“Perkara sama saya lakukan untuk persiapan ke AJL21 pada 21 Januari ini apabila lagu Mungkir Bahagia layak ke peringkat akhir. Kalau diikutkan, ketika peringkat separuh akhir lagi saya sudah berhabis untuk lagu ini kerana mahu memberikan yang terbaik.

“Apabila lagu ini layak ke peringkat akhir, sudah tentu saya perlu memberi lebih lagi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Hazami atau nama sebenarnya, Norkamal Hazami Ahmad berkata, persiapan untuk Mungkir Bahagia dimulakan sebaik saja lagu itu berjaya ke peringkat akhir kategori balada.

“Saya akui agak sukar melakukan sesuatu melalui lagu balada berbanding Kata (pop rock) yang mempunyai irama rancak tapi saya sudah memasang strategi.

“Sebenarnya banyak elemen yang boleh saya tampilkan seperti sketsa bersama penari untuk menaikan mood lagu itu. Ada rahsia yang ingin saya kongsi bersama penonton mengenai cerita di sebalik lagu itu.

“Malah, saya akui cerita itu berkaitan diri saya. Bagi saya setiap orang pernah mungkir janji dan dalam konteks lagu ini, ada ceritanya yang tersendiri. Kalau mahu tahu, tunggu saja nanti,” katanya.

Mengenai peluang lagu ciptaannya itu menjuarai kategori balada dan juga mungkin juara keseluruhan, Hazami mengakui tidak memasang harapan tinggi sebaliknya mahu memberi yang terbaik dengan memantapkan persembahan.

“Tahun lalu saya bertanding atas tiket pop rock dan menang tetapi kali ini kategori balada. Kekuatan lagu ini ialah melodinya dan ia agak sukar dibawa kerana aras lagunya tinggi dan saya perlu memantapkan nota-nota supaya saya nampak relaks.

“Kategori ini saya sifatkan cukup sengit kerana semua lagunya kuat belaka. Terlalu Istimewa ciptaan Azlan Abu Hassan mempunyai melodi yang istimewa, Ku Seru ciptaan Ajai pula disampaikan Misha Omar dengan sempurna sekali ketika separuh akhir begitu juga Secebis Harapan ciptaan Zulkifli Mahat.

“Malah, saya mahu semua komposer turut terbabit dalam pembikinan album terbaru saya nanti,” katanya.

AJL21 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil juga bukan satu masalah jika artis ini membawa penari dan penyanyi pengiring yang ramai kerana penganjur mampu menyediakan set pentas yang lebih besar dan luas.

Bagi Persembahan Terbaik yang dimenangi Mawi melalui lagu Aduh Saliha tahun lalu atas undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS), tahun ini penganjur mengatakan sistem itu akan dikekalkan sebaliknya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada juri profesional.

Lagu lain yang turut layak ke AJL21 ialah Hantaran Hati (Bob & Aspalela Abdullah, Candak (Siti Nordiana), Warkah Buat Laila (Zahid), Zapin Cinta SMS (Senario & Adibah Noor), Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi), Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly), Juwita Citra Terindah (M Nasir) dan Tak Tercapai Akalmu (Elyana).


SUMBER : Harian Metro
 


Copyrights 2006, 2007 Music & Me Entertainment , All Rights Reserved.
No Unauthorised Duplications Of Materials