Lagu merdu hiasi Zoom In di TV2 bersama Hazami
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
SELEPAS kemunculan ramai penyanyi, akhirnya tiba giliran penyanyi Mungkir Bahagia, Hazami, menjayakan program Zo om In Bersama Hazami yang disiarkan di kaca TV2 pada 23 Jun ini, mulai jam 10. 30 malam.
Seperti yang tersurat , lagu Sonata Musim Salju pernah memberi impak besar pada Hazami atau nama sebenarnya Nor Kamal Hazami Ahmad sebagai anak seni. Jika dulu, penyanyi berusia 32 tahun ini terpaksa `mengintai' peluang, kini, tentunya tidak lagi. Namanya semakin kukuh sebagai penyanyi, komposer serta guru vokal kepada artis seperti Bienda, Nikki dan Fazli Zainal.
RTM sebagai stesen penyiaran yang produktif tidak ketinggalan memberikan Hazami peluang. Program Zoom In sebelum ini pernah menampilkan penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Mawi, Jamal Abdillah, Saleem, Misha Omar, Jaclyn Victor dan Ella.
Persembahan selama satu setengah jam dalam Zoom In Bersama Hazami turut menampilkan penyanyi undangan seperti Izwan Pilus dan Nikki.
Rancangan itu diterbitkan Mohd Yusni Mohamed Ali.
Hazami berkata, dia memilih gabungan lagu kontemporari dan klasik untuk menampilkan kelainan dalam persembahannya kali ini.
“Zoom In adalah pengalaman menarik buat saya. Saya memilih lagu klasik seperti Warisan dan Patah Hati yang tidak pernah saya nyanyikan sebelum ini. Saya juga menyampaikan lagu pop evergreen, Suratan Atau Kebetulan (Kenny R emy & Martin), Sekuntum Mawar Merah (Alleycats) dan Merisik Khabar (S udirman).
“Tentunya saya tidak lupa menyampaikan lagu yang pernah memperkenalkan nama saya dalam persada seni tanah air seperti Sonata Musim Salju, Mungkir Bahagia, Kata dan Tekad. Selain itu, saya juga memilih sebuah lagu Inggeris yang begitu memberi makna buat saya iaitu Standby Me.
“Persembahan saya diiringi pemuzik profesional yang diketuai penggubah handalan, Helen Yap. Saya turut berduet dengan dua penyanyi undangan, iaitu Izwan Pilus dan Nikki,” kata Hazami.
|